Tawan Selangor : Impian Yang Akan Menjadi Realiti - Siri 1

UMNO Selangor terus bergolak lagi dengan perletakan jawatan MB yang baru 3 tahun memerintah atas alasan untuk kesihatan dan keluarga. Kerusi ini terus panas selepas MB terdahulu meletakkan jawatan kerana tuduhan membawa wang berkilo-kilo di negara Kangaroo.

Ekoran dari itu UMNO Selangor mencadangkan 11 nama untuk dipertimbangkan oleh PM tetapi kesemuanya ditolak mentah-mentah oleh PM. Ini membayangkan kesemua mereka yang terdiri dari TMB dan Exco Kerajaan Negeri tidak mendapat kepercayaan dari PM juga bermakna kesemua mereka tidak boleh diharap lagi atau dalam erti-kata lain kesemua mereka ini tidak tahu membuat kerja. Adalah teramat malang bagi seluruh rakyat Selangor apabila PM seolah-olah memperlekehkan hampir seluruh kepimpinan Negeri Selangor.

Untuk menambahkan lagi malang rakyat Selangor apabila seorang wakil rakyat yang ditolak oleh majoriti orang Melayu di DUN Sg. Panjang dipilih untuk menjawat kerusi yang panas itu. Penolakan ini terbukti apabila MB baru ini hanya memenangi kerusi DUN tersebut dengan hanya 165 undi sahaja. Inipun kurang dari jumlah undi rosak iaitu 248 yang mungkin boleh dipertikaikan kesahihannya dan majoriti ini adalah yang paling rendah diperolehi oleh ADUN BN Selangor.

Peluang keemasan ini tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja oleh Barisan Alternatif. Barisan Alternatif terutamnya keADILan mempunyai potensi yang besar di Selangor berasaskan beberapa sebab

  1. Kepimpinan Negeri Selangor sekarang ini telah ditolak oleh Mahathir sendiri dengan penolakan mentah-mentah kumpulan 11 yang dicadangkan oleh UMNO Selangor.
  2. Menteri Besar Selangor yang baru telah hampir tewas pada pilihanraya yang lepas dengan hanya meraih majoriti 165 undi sahaja yang mana kurang dari undi rosak iaitu 248 undi.
  3. Rakyat semakin muak dengan UMNO dan BN lebih-lebih lagi selepas siri kezaliman rejim Mahathir mencapai kemuncaknya dengan terhukumnya Dato' Seri Anwar Ibrahim selama 9 tahun tambahan lagi di atas kes yang lansung tidak mempunyai kredibiliti.
  4. Rakyat bertambah jelek lagi dengan beberapa siri sandiwara UMNO dan BN di dalam Drama Komedi Sauk dan juga beberapa isu perkauman yang cuba dihangatkan oleh pemimpin-pemimpin mereka.
  5. Isu ketuanan Melayu menyerlahkan sikap 'racialist' politik UMNO dan BN dan ini memberikan kelebihan kepada Barisan Alternatif yang menunjukkan sikap terpuji didalam isu ini. Politik perkauman dijangkakan akan mengalami zaman kemelesetan sejak dari awal alaf ini kerana Barisan Alternatif telah berjaya menunjukkan satu role model politik yang melangkaui batas perkauman.
  6. Barisan Alternatif hanya perlu mendapat swing sebanyak 5% sahaja untuk menawan Negeri Selangor atau secara puratanya sekitar 2500 undi sahaja bagi setiap kawasan Parlimen. Ini tidak sukar untuk dicapai kerana sejumlah besar dari 680,000 pengundi-pengundi baru yang dinafikan hak mereka baru-baru ini berada di Selangor dan dijangkakan lebih ramai lagi akan mengundi di Selangor akibat penghijrahan ramai anak-anak muda dari luar. Jika dikirakan swing yang dapat dibuat oleh keADILan di Teluk Kemang baru-baru ini Barisan Alternatif akan berjaya menyapu sekurang-kurangnya 9 kerusi Parlimen di Selangor.
  7. Pemantapan kerjasama Barisan Alternatif mungkin dapat menambahkan keyakinan dan menjana sekurang-kurangnya 10% lagi pengundi bukan Melayu dan tahap kesedaran Islam dikalangan pengundi Islam akan dapat menjana sekurang-kurangnya 15% lagi undi kepada Barisan Alternatif. Sekiranya ini dapat direalisasikan Barisan Alternatif dijangka dapat menyapu sebanyak 12 dari 17 kerusi Parlimen di Selangor.

 

Kesimpulannya Barisan Alternatif sememangnya mempunyai peluang yang amat cerah di Selangor. Cuma setiap komponen Barisan Alternatif perlu mengorak langkah dari sekarang kerana cahaya kemenangan sudah bersinar dihadapan kita. InsyaAllah perkara ini akan kita bincangkan dalam siri-siri yang akan datang.

Hakim Negara

https://hakimnegara.tripod.com/freeanwar

hakimnegara@freeanwar.com