Surat keADILan kepada DYMMSPB Agong Mengenai Penghukuman DSAI

keADILan/03.1/01(08/00)

19 Ogos 2000 / 19 Jamadil-awwal 1421

DYMM Seri Paduka Baginda
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Yang DiPertuan Agong
Istana Negara
Kuala Lumpur

DYMM Tuanku,

Assalamu`alaykum wa rahmatuLlahi wa barakatuh

ISU DATO' SERI ANWAR IBRAHIM DAN PENGHAKIMAN

Dido`akan semoga DYMM Tuanku bersama-sama DYMM Tuanku Permaisuri sentiasa di dalam lindungan dan rahmat ALlah s.w.t.

Tuanku,

1.Tuduhan liwat ke atas Dr. Seri Anwar Ibrahim mengikut syarak sama dengan tuduhan zina. Pendakwaraya dalam kes ini adalah sebagai salah seorang daripada saksi yang empat. Empat orang saksi ini dipanggil sebagai "Syuhada" seperti mana dalam surah An-Nur ayat 4.

Ke semua empat saksi ini mesti sekata dalam memberi keterangan atau kesaksian mereka mestilah tepat. Tepat dalam sekurang-kurangnya:

Tepat dalam jenis pertuduhan.
Tepat dalam masa, tempat dan tarikh.
Tepat dalam kadar.

Jika kesemua saksi-saksi itu tepat dalam tiga perkara di atas, maka tertuduh bolehlah dipanggil untuk membela diri. Jika tidak, maka yang tertuduh hendaklah dibebaskan. Dan saksi-saksi hendaklah disebat 80 rotan mengikut ayat 4 dalam surah An-Nur.

2.Dalam kes Dato' Seri Anwar Ibrahim, saksi-saksi pendakwaraya tidak pun memberi keterangan dengan tepat khususnya dalam 3 perkara di atas. Maka seharusnya, kes ini dibuang dari awal lagi dan saksi-saksi itu dihukum sebat kerana memberi keterangan palsu dalam mahkamah.

Sebaliknya Dato' Seri Anwar Ibrahim boleh memohon kepada mahkamah meminta mahkamah menjatuhkan hukuman "Qazaf" kepada semua saksi dan kepada pendakwaraya juga mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Labuan) 1997 Seksyen 41.

3.Dalam kes ini, Yang Arif hakim mengambil keterangan saksi utama pendakwaraya, Azizan Abu Bakar. Dia mengaku dia diliwat. Pengakuan ini dalam syara' disebut sebagai 'Ikrar'. Ikrar bererti satu pengakuan yang dibuat oleh seseorang secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat menyatakan bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan berkenaan sesuatu hak ke atas dirinya sendiri. Oleh kerana itu, maka pengakuannya wajib ditolak oleh mahkamah kerana saksi ini bertindak sebagai seorang saksi memberi keterangan ke atas orang lain. Itu adalah bercanggah dengan undang-undang syara'. Apatah lagi jika Hakim Bicara mengambil ikrar Azizan ini, bagi menjatuhkan hukuman 9 tahun ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tidak ada
perkataan lain yang munasabah yang boleh disebut sebagai satu "hukuman menzalimi" ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim dan sesungguhnya Dato' Seri Anwar Ibrahim memang kena zalim.

4.Bukan saja hakim itu zalim dan berdosa besar malah saksi-saksi juga berdosa besar seperti maksud ayat 4 Surah An-Nur.

5.Sepatutnya HAKIM BICARA dalam pertuduhan 377(B) Kanun Keseksaan ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim menjatuhkan hukuman "buang kes" sejak dari awal lagi; kerana itu adalah lebih sesuai dan munasabah sepertimana sabda Rasullullah s.a.w. "Hendaklah kamu buang saja kes, jika kamu dapati ada perkara-perkara yang Syubhah (meragukan)." Kes pendakwaraya melawan Dato' Seri Anwar Ibrahim ini ada mempunyai sembilan keraguan (syubhah):

Pertuduhannya telah dipinda 3 kali.
Tarikh kejadian telah dipinda 3 kali.
Tahun kejadian dipinda 3 kali dari 1994 kepada 1992 dan akhir sekali 1993.

Seharusnya tarikh dan jam dalam pertuduhan ke atas pertuduhan disebut lebih tepat. Bukan hanya sekadar disebut sebagai pada "satu malam, jam 7.45 antara bulan Januari hingga Mac".

Ikrar Azizan Abu Bakar di dalam mahkamah, dia memberitahu bahawa dia diliwat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah bilik ada katil ada tilam dan ada alat penghawa dingin manakala kontraktor yang mengubah-suai rumah Sukma Darmawan di Tivolli Villa memberitahu mahkamah bahawa penghawa dingin (air condition) hanya siap dipasang 2 April 1993.

Ikrar Azizan mesti ada bukti sokongan seperti laporan doktor dan laporan polis. Bukti sokongan ini dinamakan di dalam syara' sebagai qarinah sepertimana anak Nabi Yaakub yang berlumuran darah dan mereka mengatakan darah ini adalah darah Nabi Yusuf a.s.Tetapi Nabi Yaakub membalas kepada mereka dengan kata-kata; "Sungguh baik serigala yang memakan anakku ini tanpa mengoyakkan bajunya." Surah Yusuf:18. Sepatutnya Hakim Bicara menyebut seperti mana yang disebut oleh Nabi Yaakub; "Sungguh bijaksana Dato' Seri Anwar Ibrahim meliwat Azizan, tanpa ada kesan langsung pada dubur saksi utama ini."

Saksi utama dalam penyingkiran Dato' Seri Anwar Ibrahim ialah Dato' Seri Dr. Mahathir Mohammad. Beliau mencanangkan ke seluruh negara dan dunia bahawa dia mempunyai bukti kukuh terhadap salah laku seks dan rendah moral Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tetapi, orang ini apabila dipanggil ke mahkamah sebagai saksi, dia menarik diri dan mengatakan kepada umum bahawa dia tidak mengetahui apa-apa dan tak tahu nak kata apa-apa dalam mahkamah.

Hakim Bicara patut memerintahkan supaya dia (Dato' Seri Mahathir Mohamad) hadir sendiri ke mahkamah kerana dia saksi utama. Tetapi, hakim bicara bersetuju dengannya agar dia tidak perlu datang ke mahkamah kerana "dia tidak tahu apa-apa". Dalam kes ini Pendakwa Raya mempunyai tanggungjawab untuk mengemukakan bukti-bukti kukuh, kerana beban bukti terletak di atas bahunya. Tetapi dalam kes ini Dato' Seri Anwar pula yang dibebankan ke atasnya dengan beban bukti bagi mengatakan dia tidak bersalah di atas pertuduhan liwat ini.

Hakim Bicara meletakkan tarikh jatuhan hukum pada tarikh 4 Ogos 2000 tetapi ditangguh ke satu tarikh yang tidak ditetapkan. Tiba-tiba di saat-saat akhir, hukuman akan dijatuhkan pada 8 Ogos 2000. Sudah tentu cara penangguhan ini meragukan dan
bertujuan tertentu.

6.Akhirnya, kami dan rakyat tertanya-tanya adakah di negara Malaysia ini ada orang yang boleh membela penganiayaan ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim ini?

Wassalam.

DATO SYEIKH AZMI BIN HJ. AHMAD
Naib Presiden
s.k. DYMM Raja-raja Melayu