Salam Perkenalan Dari Webmaster
Assalamualaikum & Salam Reformasi,
yang dikasihi sahabat-sahabat webmaster yang telah terdahulu berjuang di alam cyber dan juga reformis-reformis pengunjung laman web pro reformasi sekelian.
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana kuta terus di beri kekuatan untuk meneruskan agenda kita untuk membuat reformasi di negara kita. Walaupun kita terus ditekan dan diasak dengan pelbagai ancaman, ugutan atau pujukan namun kita masih terus dapat bertahan demi menegakkan kebenaran dan menghancurkan kezaliman.
Tarikh 4 Ogos akan menjadi satu tarikh keramat buat negara kita kerana pada hari itu sekali lagi bukan sahaja rakyat Malaysia malahan seluruh dunia akan menjadi hakim kepada kes DSAI. Kredibiliti sistem kehakiman negara kita sekali lagi berada dalam keadaan genting. Hakim Ariffin Jaka akan menjadi penentu samada sistem kehakiman yang sedia ada ini akan digunakan untuk menegakkan keadilan atau hanya untuk menjadi perkakas penguasa yang zalim.
Hakim Ariffin Jaka sememangnya sudah mengetahui dari awal lagi bahawa sebenarnya tuduhan itu tidak relevan namun mungkin kerana tekanan dan asakan dari penguasa yang zalim atau kerana sedikit kepentingan duniawi maka tuduhan itu tetap diteruskan. Sepatutnya kes ini digugurkan dari awal lagi kerana terlalu jelas akan sandiwara yang cuba diplotkan oleh pasukan pendakwa.
Namun begitu sekurang-kurangnya dengan berlansungnya kes DSAI ini rakyat yang masih cenderung kepada BN telah nampak dengan jelas beberapa kepincangan yang mungkin mereka terlepas pandang sebelum ini. Paling mengejutkan mereka adalah pendedahan yang telah dibuat oleh Dato' Shafie Yahya mengenai perlakuan sumbang Mahathir menghalang penyiasatan beliau terhadap Tan Sri Ali Abul Hassan.
Menyedari hakikat bahawa perjuangan ini masih terlalu panjang maka penulis telah mengambil keputusan untuk bersama-sama mengharung badai berjuang bersama-sama rakan yang terdahulu di alam cyber. Sempena tarikh keramat 4 aug ini maka penulis telah menamakan laman yang tidak seberapa ini sebagai Hakim Negara. Di harap semua pihak dapat memberikan sumbangan artikel dan buah fikiran demi menjayakan agenda perubahan kita.