KENYATAAN MEDIA

PEMUDA BARISAN ALTERNATIF

(klik untuk imbasan dokumen tersebut)

 

Pemuda Barisan Alternatif melahirkan rasa sedih yang amat sangat terhadap kenyataan mengelirukan daripada beberapa pemimpin kanan Kerajaan Barisan Nasional berkenaan perhimpunan aman yang ingin diadakan oleh Rakyat Malaysia pada 4hb Ogos 2000, hari keputusan perbicaraan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Barisan Nasional dan media massa utama yang dibawah telunjuk mereka telah berkali-kali cuba mengaitkan perhimpunan aman yang sedemikian dengan keganasan dan kacau bilau. Sesungguhnya perbuatan mereka ini adalah langsung tidak bertanggung jawab dan mencerminkan politik fitnah primitif yang menjadi amalan mereka buat sekian lama. Keadaan tegang ini diterukkan lagi dengan provokasi-provokasi yang sengaja dirancang untuk mencetuskan kemarahan rakyat.

Pemuda Barisan Alternatif sesungguhnya mempercayai bahawa perhimpunan aman yang akan diadakan adalah hasil cetusan ketidakpuasan hati Rakyat yang membuak terhadap suasana politik negara kita. Rakyat ingin memberi suara dan sokongan mereka kepada Dato Seri Anwar Ibrahim dengan menggunakan hak untuk berhimpun dengan aman sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Pemuda Barisan Alternati dengan ini menyeru kepada pihak keselamatan, terutama Polis Di Raja Malaysia,agar bersama-sama dengan Rakyat bagi memastikan bahawa keamanan semasa perhimpunan berkenaan dijaga dan dihormati sejajar dengan Perlembagan Negara. Pihak Polis sepatutnya melindungi rakyat seperti yang dijanjikan dalam sumpah kerja mereka dan bukan mengikut arahan songsang yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional.

Pemimpin-peminpin Barisan Altenatif sendiri akan hadir secara peribadi untuk mengikuti keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka akan bersama-sama rakyat menanti pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memulangkan beliau ke pangkuan masyarakat.

Pemuda Barisan Alternatif sekali lagi menyeru kepada pihak kerajaan menghormati kehendak Rakyat untuk berhimpun secara aman pada 4 Ogos ini. Pemuda Barisan Alternatif juga berharap agar keamanan yang terjaga ini akan membolehkan Hakim Dato Ariffin Jaka membuat keputusan yang adil dan telus. Insya Allah, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali kepada pangkuan Rakyat pada hari yang begitu bermakna dalam sejarah keadilan politik Negara Malaysia yang kita cintai ini.

Y.B Hj Mahfuz Omar

Mohamed Ezam Mohd Nor

YB Teng Chang Khim

Faizal Sanusi