Kenyataan Akhbar Dato’ Haji Fadzil Mohd. Noor
‘Jangan Politikkan Hak Istimewa Melayu’
Senario politik negara terus-menerus bergejolak. Rentetan peristiwa yang berlaku mutakhir ini sememangnya meletakkan sebahagian besar rakyat terkadangkali berasa bingung dan rimas bercampur bosan dan marah. Bingung dan rimas oleh kerana apa yang didakwa serta digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak khususnya pimpinan Umno dan liputan media perdana tentang perpecahan Melayu dan kehilangan ketuanan Melayu tidak langsung mereka rasakan. Bosan dan marah adalah kerana segala yang didedahkan oleh rakyat sebagai dakwaan penyelewangan, rasuah dan kepincangan, tidak dibicarakan, sementara penghukuman yang dikenakan ke atas mereka yang disabitkan kesalahan oleh proses undang-undang, dilihat oleh rakyat sebagai terlalu berat bahkan disifatkan sebagai terlalu kejam. Rakyat terus dilanda dengan suasana yang tidak menentu ini sehingga mencetuskan krisis keyakinan yang paling teruk terhadap apa jua yang ada hubungkaitan dengan institusi kerajaan. Kerajaan Umno/BN persis kehilangan wibawa dan legitimasi untuk terus memimpin negara ini.
Rentetan pergolakan politik paling terkini, sekali lagi membawa suasana bingung dan rimas. Kali ini isunya dikatakan tercetus akibat tuntutan 17 perkara Rayuan Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqui) di Bangunan Dewan Perniagaan Cina Selangor pada 16 Ogos 2000 baru baru ini yang antara lainnya telah mempersoalkan kedudukan kaum Bumiputera. Suqui didahului oleh kenyataan David Chua, Timbalan Pengerusi MAPEN II yang juga didakwa telah mempertikaikan hak istimewa orang Melayu.
Pergerakan Pemuda Umno dengan begitu bersemangat telah mengeluarkan satu Memorandum yang menyifatkan tuntutan tersebut sebagai berniat jahat dan menghasut lantas memberi amaran bahawa "Pemuda Umno tidak akan bertanggungjawab sekiranya sikap Suqui mencetuskan tindakbalas yang menimbulkan ketegangan kaum dan menjejaskan kestabilan negara". Gerakan Pemuda Umno ini juga sambil mendakwa "mewakili hati nurani orang Melayu dan Bumiputera seluruh negara mendesak dan menuntut antara lainnya supaya Suqui menarik balik dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Melayu dan Bumiputera dan jangan sekali-kali mengambil mudah orang Melayu dan Bumiputera dengan bermain api perkauman". Dua demonstrasi telah diadakan oleh sebilangan penyokong UMNO. Yang pertama pada 17 hb Ogos di Putra Jaya yang menyaksikan Perdana Menteri sebak. Satu lagi pada 18 hb Ogos di Dewan Perniagaan Cina Selangor. Kurang diketahui samada perhimpunan kedua-dua ini mendapat permit polis.
PAS amat memandang serius pergolakan mutakhir ini. Komitmen PAS kepada perpaduan dan keharmonian negara adalah jelas dari tindak-laku PAS sekian lama dan diperbaharui dengan pilihan tema Muktamar baru baru bahawa "PAS Memimpin Perpaduan". Perjuangan PAS yang berpaksikan Islam menuntut sekaligus PAS menghayati sikap toleransi (al-muruunah) dan keadilan (al-‘aadalah) dalam menjalinkan persefahaman dan keharmonian bermasyarakat khususnya kerana negara majmuk ini mempunyai sensitiviti kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
Seperti yang telah ditegaskan oleh Mursyidul Am PAS dan juga Timbalan Presiden PAS dalam liputan media perdana baru baru ini, saya suka untuk mengulangi bahawa persoalan kedudukan orang Melayu telah pun diperuntukkan di dalam perlembagaan negara. Manifesto BA dalam pilihanraya ke-10 yang lalu juga membawa pengertian yang sama bahawa kedudukan orang Melayu sememang telah diperuntukkan dalam perlembagaan. Sesungguhnya tiada siapa yang ‘mencabar’ perkara ini seperti yang didakwa oleh Pemuda Umno. Perkara ini telah dijelaskan oleh saudara David Chua dan juga saudara Ser Choon Ing, Setiausaha Suqui. Dasar Tindakan Afirmatif yang dimaksudkan dalam rayuan 2.2 adalah bertujuan untuk memberi perlindungan dan peningkatan kepada golongan masyarakat yang lemah, tanpa mengira kepercayaan agama, latar belakang dan kaum. Secara dasar tidak ada siapa pun yang mampu menolak kebenaran perkara ini kerana kemiskinan wujud secara merentasi kaum. Prinsip Keadilan menuntut supaya golongan yang kurang bernasib baik ini mesti dibela dan dilindungi tanpa mengira kaum dan latar belakang sosial. PAS merasakan bahawa sekadar apa yang disebutkan dalam ulangan rayuan itu adalah paling menasabah dan wajar. Suqui juga mengingatkan bahawa parti politik, media dan semua pihak supaya tidak memanipulasikan isu ini dan menjejaskan perpaduan nasional. Kenyataan Akhbar Suqui juga meletakkan jodolnya sebagi "tidak mempersoalkan keistimewaan Melayu" dalam ulangan rayuannya.
Kalau sudah sampai begitu jelas dan telus pengakuan yang dibuat oleh Suqui dan juga David Chua, PAS tidak nampak kewajaran dan kemenasabahan Umno terutama Pemuda Umno untuk mempolitikkan isu ini lagi. PAS merasakan tidak wajar untuk Umno mempolitik isu ini untuk meraih sokongan Melayu kembali. Jangan sampai mengesahkan dakwaan rakyat sekali lagi "cakap tak serupa bikin". Umno/BN yang kononnya suruh rakyat bersatu dan saling hormat menghormati, tetapi Umno sendiri yang mengoyakcarikkan perpaduan kaum. Perpaduan bukan satu yang boleh dipaksa-paksakan bahkan tidak boleh juga dikawal dengan undang-undang. Ia perlu dibaja dan dipupuk dengan persefahaman, muzakarah dan sangkaan baik.
Perpaduan tidak akan dapat dijalinkan dengan cara ugutan secara ganas mengingatkan orang lain tentang hak kita, kalau kita sendiri tidak bersedia untuk menunaikan kewajipan dan tanggungjawab kita. Umat Melayu juga tidak mahu diwakili oleh pemuda Umno seperti yang didakwa dalam Memorandum mereka, kalau begitulah sahsiah Melayu yang ditunjukkan. Umno juga perlu ingat bahawa keputusan pilihanraya yang lalu secara jelas menunjukkan bahawa Umno tidak lagi layak mewakili sebilangan besar orang Melayu di negara ini. Tambahan dengan sikap angkuh dan kasar ini, tidak perlulah Umno mengangkat agenda perpaduan Melayu. Di sini antara lainya, adalah garis pemisahan antara PAS dan BA dengan Umno dan BN. PAS dan BA tidak mahu diheret untuk memasukki polimik dan agenda murahan ‘perpaduan perkauman’ Umno/BN. Sayugia diingatkan bahawa "BA adalah politik berteraskan Prinsip yang merentasi kaum dan kelompok, sementara BN adalah manifestasi politik berteraskan Kepentingan kaum dan kelompok".
Dato’ Haji Fadzil Mohd. Noor
Presiden PAS
19 hb Ogos 2000