Ketuanan Melayu : Mamak Bendahara Menangis Lagi

Mamak Bendahara Mahathir Mohammad sekali lagi meneruskan aksi sebagai pelakun airmata apabila nampaknya begitu bersedih apabila hak-hak keistimewaan orang Melayu diusik lagi. Lakunan ini dilakukan di dalam satu 'Perhimpunan Haram' (meminjam istilah mereka kerana perhimpunan ini besar kemungkinan tiada permit polis) yang dilansungkan di Putrajaya. Perhimpunan ini adalah hasil inisiatif beberapa kumpulan melayu minoriti untuk menyatakan rasa tidak puas hati keatas kununnya ada usaha untuk menggugat keistimewaan Bangsa Melayu.

Lagipun perkara yang dikatakan disentuh oleh Timbalan Pengerusi MAPEN II itu hanyalah hasil dari manipulasi akhbar. Pemimpin-pemimpin UMNO terus melatah dan memberikan pelbagai reaksi untuk menunjukkan kununnya merekalah juara bagi orang Melayu. Mahathir juga menyatakan bahawa orang Melayu akan menjadi lemah apabila kerajaan tidak lagi mendapat sokongan dari orang Melayu. Dan juga ada diantara pemimpin tukang angguk ini mencadangkan supaya tindakan diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba menggugat ketuanan Melayu.

Dari kenyataaan mereka itu kita sudah nampak jelas akan betapa terdesaknya mereka untuk meraih sokongan orang Melayu. Desperado ini cuba menyanyikan lagu lama yang sudah basi perihal ketuanan Melayu ini sambil menyatakan bahawa ketuanan ini akan digugat dan mungkin hilang jika orang Melayu terus berpecah. Perpecahan Melayu pada hemat mereka adalah apabila orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO. Sememangnya orang Melayu sudah tidak lagi menyokong UMNO tetapi orang Melayu masih lagi bersatu dibawah panji-panji PAS dan keADILan. Mahathir dan UMNO tidak perlu bimbang kerana PAS dan keADILan lebih pandai menjaga orang-orang Melayu ini berbanding mereka.

Apa gunanya bersatu jika disuruh berlindung dibawah bangunan yang sedang mereput dan menunggu saat untuk runtuh. Orang Melayu tidak rela menjadi spesis-spesis terakhir yang akan terkubur tanpa nisan. Orang Melayu telah menunjukkan kependekaran mereka dengan menentang secara terbuka segala kezaliman dan kemungkaran yang berlaku. Biarkanlah mereka-mereka yang bebal ini terus menjadi spesis terkahir UMNO untuk kita jadikan bahan peninggalan sejarah untuk kita tunjukkan kepada anak-cucu kita kelak.

Ataupun jika pihak BA tidak berhati-hati kesempatan ini akan terus UMNO dan BN keruhkan untuk mewujudkan rasa kurang senang diantara Bangsa Melayu dan Cina dan akhirnya mereka mengambil peluang untuk sekali lagi menjalankan Operasi Lalang di atas alasan keselamatan negara. Bahang ini nampaknya sudah mula dihangatkan dengan Drama Komedi Sauk tempohari. Beberapa isu yang berbau perkauman sudah mula dibenihkan di dalam drama komedi tersebut seperti pembunuhan dua anggota keselamatan berbangsa India dan Kadazan, pengeboman kilang arak 'Carlsberg' dan juga tandas kuil di Batu Caves.

Kadang-kadang penulis terfikir juga apa lagi sebenarnya di dalam 'kotak keramat' hak keistimewaan orang Melayu sekarang ini berbanding dengan zaman pemerintahan beberapa Perdana Menteri sebelum ini. Penulis nampak kotak keramat ini semakin kosong saban hari tetapi kotak kosong ini akan terus dijaga untuk dijadikan senjata untuk mengugut spesis-spesis Melayu Bebal yang masih menyokong UMNO dan Barisan Nasional.

Tanah rizab orang Melayu yang semakin susut.

Biasiswa untuk anak-anak Melayu sudah dihapuskan.

Keistimewaan Raja-raja Melayu sudah dirampas

Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa kelas kedua.

Budaya Melayu semakin pupus.

Tata-susila dan adab-sopan Melayu semakin terhakis.

Ulama terus dihina.

Usahawan Melayu yang tidak menyokong UMNO terus ditekan.

Kezaliman melampau keatas pemimpin Melayu …. Dato' Seri Anwar Ibrahim

Dan banyak lagi kehilangan-kehilangan besar yang dialami oleh bangsa Melayu angkara perbuatan khianat dan biadab pemimpin bangsa Melayu dari UMNO dan BN. Jadi apa lagi yang dilaung-laungkan oleh mereka. Sesungguhnya UMNO sudah tiada hak lagi untuk bersuara untuk orang Melayu kerana pada hakikatnya mereka sudah ditolak oleh majoriti orang Melayu. UMNO boleh terus cuba lakunkan apa sahaja watak yang mereka suka namun rakyat akan tetap menganggap segala-galanya adalah komedi belaka.

Sebenarnya UMNO lah pengkhianat bangsa Melayu.

Hakim Negara