Nak Ke Mana KeADILan ?

Oleh Daud Haji Ibrahim

Dalam tempoh sebulan dua ini, banyak benar berita yang boleh dibaca kononnya cukup ramai ahli Parti Keadilan Nasional (keADILan) meninggalkan parti itu, selain laporan yang menyebut krisis kepimpinan hingga menyebabkan seorang dua pemimpin besar meletakkan jawatan.

Cerita itu ada benarnya dan ada tidak benarnya. Misalannya dakwaan mengatakan berlaku hubungan sulit antara Ketua Pemuda keADILan, Mohd Ezam Mohd Nor dengan anak sulung Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar Ibrahim.

Pendakwa dan pembawa cerita itu ialah bekas "pemandu" Mohd Ezam sendiri, Zul Azhar Cha yang mendakwa dia adalah bekas pembantu (pemandu) peribadi kepada Mohd Ezam sendiri.

Mengapa dalam kes memalukan Anwar Ibrahim, ia mesti datang daripada seorang pemandu? Apakah Anwar dan keluarganya tidak boleh mendapatkan khidmat pemandu? Atau, memang ada satu usaha memalukan keluarga Anwar dengan "mencari" pemandu-pemandu yang sanggup tampil membuat pengakuan, sama ada secara bersumpah atau tidak, membuat pelbagai dakwaan kononnya, Mohd Ezam panjat pagar rumah untuk menyampaikan hadiah hari jadi.

Apakah seluruh keluarga Anwar mahu dimalukan dengan cerita-cerita skandal. Anwar sedang dituduh di Mahkamah Tinggi atas tuduhan liwat. Abangnya pernah diberitakan ditangkap berkhalwat dengan isteri sendiri. Sebuah stesen tv memberikan fokus khas kepada cerita ini hingga sanggup menyiarkan gambar di kawasan perumahan di mana kes ini didakwa dilakukan. Kini, anak sulung Anwar cuba dimalukan! Setiausaha Eksekutif Pemuda keADILan, Mohamad Zahid Mohd Arip pula sudah menghidu ada usaha untuk memalukannya dengan dakwaan kononnya dia melanggani pelacur.

Dakwaan ini juga dibuat seorang teman rapat Zahid yang mendakwa disuruh pihak tertentu bertujuan memalukannya. Dua kes ini, adalah antara banyak-banyak dakwaan yang dihalakan kepada keADILan dan kepimpinannya bertujuan menyungkurkan terus parti ini, hingga meniarap ke tanah.

Seperti biasa, kepimpinan Umno, daripada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri diikuti timbalannya, Abdullah Ahmad Badawi dan beberapa pemimpin kanannya termasuk Mustapa Mohamed memainkan peranan cukup penting "mengalu-alukan" kedatangan atau kembali ke pangkal jalan kumpulan yang mendakwa bekas ahli keADILan itu.

Paling lucu, ada seorang bernama Abdullah Che Man yang mengaku bekas Ketua keADILan Bahagian Kuala Krai, Kelantan membuat laporan polis kononnya Ahli Parlimen (keADILan) Peringat, Mohamad Mustapha mempunyai dua kewargenegaraan yang sekaligus meminta Jabatan Pendaftaran Negara atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan beliau hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Perkembangan-perkembangan ini, seolah-olah keADILan hanya menunggu masa sahaja mahu dibubarkan. Ia disokong dengan cerita Mohd Ezam pernah malafazkan hasrat mahu melepaskan jawatannya sebagai ketua Pemuda, Hajah Marina Yusoff bermasalah dengan Dr Chandra Muzafar. Dr Chandra sendiri dikatakan mahu berundur kerana mendapat tawaran dari sebuah universiti di luar negara.

Ditambah lagi dengan cerita Zuraidi Rahim yang menjawat jawatan Naib Ketua Pemuda keADILan Negeri Kedah mengisytiharkan dirinya keluar dari parti itu. Diikuti tindakan Baharudin Ali Masrom, Nurdin Ahmad dan Wan Indera Putra Ahmad seakan-akan semua dakwaan ini benar belaka. Apakah "tersungkur" keADILan kelak jika benar semua mereka ini meninggalkan perjuangan? Seorang pensyarah universiti tempatan berpendapat, keADILan sebenarnya tidak memerlukan orang-orang ini.

Jadi, dengan lain perkataan, biarkan mereka pergi dan doakan semoga mereka berjaya di dalam parti lain kelak. Sambil menunjukkan kajiannya mengenai keADILan Johor, pensyarah ini memberitahu; "Dari 19 bahagian keADILan Johor, terdapat seratus ribu keahlian berdaftar.

Dari jumlah itu, hanya 20 peratus sahaja bekas ahli Umno sementara yang lain-lain non-partisan. "Maknanya, yang nak keluar dan nak masuk parti lain ini adalah bekas ahli Umno sahaja. Yang lain-lain tidak berdetik pun. Mereka dipercayai akan kekal dalam keADILan hinggalah keADILan dibubarkan. Pilihan kedua mereka, jika keADILan tersembam ke bumi mereka akan berpindah ke parti pembangkang yang lain termasuk PAS." Saya terkejut dengan catatan kajian pensyarah ini.

Maknanya, kesimpulan yang boleh diambil ialah bekas ahli Umno yang kecewa dahulu dan bertindak menyertai keADILan bukan menjadi sebab mengapa keADILan tertubuh. Itulah sebabnya tidak ramai bekas pemimpin Umno tampil sebagai pemimpin keADILan. Yang ada cuma Mohd Ezam sendiri, Haji Ruslan' Kassim, Saifuddin Nasution dan Marina.

Siapa Baharuddin Ali Masrom, Zul Azhar Cha, Zuraidi Rahim, Wan Indera Putra dan Nurdin dalam Umno? Siapa Abdullah Che Man dalam Umno? Mereka ini hanya terkenal buat seketika kerana berjaya membuat gempar "ayam betina bertelur" kerana mahu meninggalkan keADILan dan berhajat memohon menjadi ahli Umno.

Kalau mereka tidak pernah menyertai keADILan, tiada siapa kenal dengan mereka. Mungkin ketua Umno Cawangan Parit Unas Tengah, Ismail A Hamid lebih dikenali daripada deretan bekas ahli keADILan yang Dr. Mahathir, Dolah dan Mustapa sambut secara meriah ini.

Apakah Umno percaya dengan bantuan seorang dua ini mahu membuat road show bertujuan menarik perhatian ahli-ahli keADILan akan membuahkan hasil? Apakah Umno sudah kurang penceramah sekarang hingga terpaksa menggunakan seorang dua budak-budak bekas ahli keADILan ini untuk membantu menambah ahli? Seorang doktor dari Kedah pula berpendapat, DAP, PAS dan PRM sendiri pernah kehilangan seorang dua pemimpin berkaliber mereka, tetapi tidak menyebabkan parti itu tersungkur menyembam bumi.

Sambil menyebut nama-nama seperti Chan Teck Chan, Oii Ean Kwong, Tiger Lee, S.K. Song, Salleh Nahkoda Hitam dan Hu Sepang tidak menyebabkan DAP lemah. Malahan, suatu ketika DAP nyaris-nyaris menawan Pulau Pinang selain menambah kerusi Parlimen dengan begitu banyak.

PRM pernah ditinggalkan Dr Kassim Ahmad. Kassim menjadi ahli Umno dan dia tidak berjaya mencipta nama dalam Umno hingga kini tetapi PRM yang ditinggalkan tidak rebah hingga kini. Jauh sekali PRM mati selepas ketiadaan Dr. Kassim.

PAS lebih berpengalaman dalam soal pemimpin dan ahli-ahlinya melompat meninggalkan perjuangan. Nama-nama seperti Haji Nakhaie Ahmad, Tan Sri Mohd Asri Muda dan Malek Hussin pernah mewarnai politik PAS tetapi tindakan mereka meninggalkan PAS tidak langsung menjejaskan parti itu.

Pengalaman ini mungkin pahit hagi PAS tetapi tidak ada siapa yang penting dalam sesebuah parti, kecuali perjuangan. Umno sendiri pernah kehilangan pemimpin besar mereka. Umno terus kukuh malahan, yang pergi berganti. Nama-nama seperti Dato' Onn, Tengku Razaleigh dan Ustaz Ibrahim Azmi pernah bertindak meninggalkan Umno tetapi ia langsung tidak memberi kesan kepada parti itu secara total.

MCA pernah kehilangan pemimpin. Nama-nama seperti Dr. Lim Chong Eu, Mak Hon Kam dan Micheal Chen tidak juga meninggalkan kesan besar kepada parti itu. Secara keseluruhannya, kata doktor dari Kedah ini walau apa pun tujuan seseorang meninggalkan parti yang mereka sertai, masing-masing akan mendabik dada kononnya mereka orang penting dan digembar-gemburkan oleh media massa, dengan satu tujuan; menggambarkan parti yang ditinggalkan seseorang itu akan menjadi lemah.

Hakikatnya, parti itu tidak akan lemah sebaliknya yang bertindak meninggalkan parti itu akan lemah dan tidak keterlaluan jika dikatakan mungkin "dilupakan" begitu sahaja. Dalam konteks Umno hari ini, ahli-ahli di peringkat bawahan sudah semakin risau dengan perkembangan kemasukan seorang dua bekas ahli keADILan ini yang mereka dakwa akan menjahanamkan perpaduan yang sudah terbina. Dengan lain perkataan, mereka (di peringkat bawahan) tidak bersedia menerima kemasukan bekas ahli keADILan. "Meraikan orang keluar penjara...," kata mereka.

Hari ini, yang terkehadapan dalam soal meraikan "orang-orang keluar penjara" ialah Mustapa Mohamed yang tewas di Parlimen Jeli. Dia merupakan "anak emas" dalam Umno kerana Tun Daim sayangkan dia. Dia secara mudah dapat jadi Setiausaha Politik kepada Tun Daim. Kemudiannya dilantik menjadi Senator dan Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri Kewangan sebelum menjadi Menteri Pembangunan Usahawan.

Perdana Menteri melihat Mustapa boleh memperbaiki kerosakan yang Dr. Yusof Nor buat. Dulu, Dr Yusof diturunkan pangkat dari menteri kepada seorang Exco Kerajaan Negeri, tempatnya di Kementerian Perusahaan Awam (kemudiannya ditukarkan nama Kementerian Pembangunan Usahawan) diambil alih Mustapa.

Hari ini, kegagalan Dr. Yusof di Pejabat Penerangan Umno Malaysia diisi sekali lagi oleh Mustapa. Perdana Menteri cukup yakin Mustapa boleh memperbaiki sebarang kerosakan yang dibuat Dr. Yusof. Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Mustapa selaku Ketua Penerangan Umno bercadang mahu menubuhkan satu urusetia bagi mengelolakan kemasukan bekas ahli keADILan. Ia seolah-olah membayangkan cukup ramai bekas ahli keADILan yang akan memohon menyertai Umno.

Kalau Mustapa percaya cerita ini, bermakna dia sudah termakan gula-gula budak hingusan bekas ahli keADILan yang meyakinkannya. Mereka semuanya sedang terpinga-pinga mencari kerja sekarang,... menghulur sampul surat yang mempunyai pelbagai "maksud".

Sebelum pilihan raya, Umno melalui Dr. Yusof Nor menganjurkan kempen lawan fitnah yang dijayakan Ummi Hafilda Ali dan rakan kongsinya, Khairuddin Abu Hassan. Kini, selepas pilihan raya, tingkat 38 Pejabat Penerangan Umno akan jadi markas bekas ahli keADILan yang diharapkan dapat menarik lebih ramai kawan-kawan mereka menyertai Umno. Ahli MT Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi juga berjanji menjadi "jambatan" kepada rakan-rakan dari kalangan pembangkang.

Usaha ini tidak akan berjaya. Mereka yang hendak menyertai Umno tidak perlu ditubuhkan urusetia atau disediakan jambatan kerana, mereka tahu cari jalan. Ada-ada sahaja alasan yang mereka gunakan untuk melompat nanti. Soalnya, apakah nilai ahli-ahli jenis ini? Umno boleh berbangga kerana mempunyai ramai ahli. Presidennya mendakwa mempunyai lebih 2.8 juta ahli berdaftar. Tetapi Setiausaha Kerjanya, Tengku Adnan Mansor mendakwa hanya separuh yang menjelaskan yuran tahunan.

Bekas Ahli MT, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub sendiri mendakwa dari 13,000 ahli Umno di Parit, dia hanya mendapat sekitar 7,000 undi sahaja yang didapatinya dalam pilihan raya umum lalu. Dia kalah di Parit.

Di Terengganu, bekas Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Alias Ali mendakwa beberapa peratus ahli-ahli Umno tidak mengundi calon Umno menyebabkan Umno (BN) tewas dalam pilihan raya umum lalu di Negeri Terengganu. Dengan lain perkataan, keADILan, PAS, DAP dan PRM tidak perlukan jumlah ahli yang ramai untuk memberi saingan kepada Umno (BN). Yang penting, di kalangan ahli-ahli Umno sendiri, di kalangan non-partisan, memihat, bersimpati dan mengundi calon-calon BA.

Pilihan raya umum 2004, bakal menyaksikan BN menjadi pembangkang di Parlimen sementara BA memerintah. Perdana Menterinya ketika itu, mungkin Ustaz Fadzil Nor dan mungkin seseorang yang pernah dilebamkan matanya oleh seorang Ketua Polis Negara yang sedang mendapatkan rayuan menidakkan hukuman penjara ke atasnya.

 

http://detikdaily.tripod.com/