Hak Keistimewaan Orang Melayu

Satu Lagi Sandiwara BN

Malaysia sekali lagi seolah-olah cuba digemparkan dengan satu kenyataan yang biasanya dikira sangat kontroversi oleh David Chua - Timbalan Pengerusi Majlis Peerundingan Ekonomi Negara. Kenyataannya dikira agak berbau perkauman apabila dikatakan mendesak supaya hak keistimewaan orang Melayu dikaji semula. Kenyataan sebegini biasanya mengundang reaksi-reaksi yang agak kritikal dan sensitif dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Namun begitu akhir-akhir ini rakyat mulai sedar bahawa pihak yang sentiasa cuba bermain dengan isu-isu sebegini adalah sebenarnya BN dan sekutu-sekutunya. Isu perkauman ini jika disebut oleh MCA/Gerakan biasanya adalah untuk mendapat sokongan Kaum Tionghua bahawa kununnya merekalah pembela kaum Tionghua. Begitu juga jika isu sebegini dimainkan oleh MIC. Kelebihan ini akan diambil oleh UMNO untuk menunjukkan bahawa merekalah juara Kaum Melayu. Kesemua mereka cuba mewujudkan satu sentimen antara kaum masing-masing supaya setiap kaum mempunyai prejudis diantara satu sama lain .

Beginilah rupa pemerintahan mereka yang mengamalkan dasar pecah dan perintah yang sememangnya diwarisi dari penjajah lagi. Jurang ini sentiasa cuba dikekalkan dalam satu jarak yang terkawal supaya integrasi kaum tidak terlalu rapat dan tidak terlalu renggang. Jurang ini sentiasa dikawal supaya sentiasa ada rasa prejudis tetapi tidak sehingga menjadi satu permusuhan. Ini adalah supaya senang bagi mereka mempermain-mainkan pemikiran semua kaum dan juga supaya semangat integrasi yang cukup tinggi yang dibuktikan di dalam gagasan BA sekarang ini tidak berjaya.

BN sebenarnya amat takut dengan perkembangan terkini yang mana tahap integrasi kaum yang cuba diterapkan oleh BA berada pada satu tahap yang amat tinggi. Sebelum ini amat sukar dilihat Kaum Melayu, Cina dan India dapat minum semeja, dapat berbincang bersama malahan dapat bersama-sama berjuang dijalanan. Malahan didalam majlis-majlis penerangan PAS yang sentiasa dilabelkan sebagai ekstrimis Islam oleh BN juga sentiasa dipenuhi oleh Kaum Cina dan India. Senarion inilah sebenarnya yang cuba diwujudkan oleh DSAI melalui konsep Masyarakat Madani. Keadaan ini adalah merupakan satu mimpi ngeri bagi BN dan sekutu-sekutunya.

Perpaduan yang dibangga-banggakan oleh BN selama ini adalah merupakan satu sandiwara semata-mata. Perpaduan yang dikatakan itu sebenarnya hanyalah merupakan perpaduan Mahathir, Ling Liong Sik dan Samy Vellu hanya untuk menyamun duit rakyat dan bukannya perpaduan Melayu, Cina, dan India. Buktinya cuba selidik kembali diperingkat rakyat bawahan, berapa kalikah setahun Jawatankuasa Bahagian UMNO, MCA dan MIC dapat duduk semeja di dalam perbincangan, malahan cuba tanyakan mereka adakah mereka kenal di antara satu sama lain ?.

Inilah sebenarnya rupa Dasar Integrasi Nasional yang cuba diwujudkan oleh BN, samalah seperti di zaman penjajah British yang mengasingkan Kaum Melayu di kampung-kampung, Cina di bandar dan India di estet-estet. Jika semua kaum ini bersatu dan memahami di antara satu sama lain nescaya BN sudah menjadi tidak relevan sejak lama dulu. Jadi isu-isu perkauman seperti yang di sebut oleh David Chua dua hari lepas adalah merupakan kesinambungan kenyataan Mahathir tidak lama dulu yang mengatakan PM boleh dilantik dari bangsa lain dari Melayu dan akan sentiasa menjadi buah mulut pemimpin BN untuk sentiasa mengekalkan jurang perkauman yang disebut tadi. Mereka akan secara konsisten berpakat dan bergilir-gilir memainkan isu-isu hangat sebegini.

Pemimpin dan penyokong BA serta rakyat biasa tidak perlu melatah, menunjukkan reaksi yang negatif dan terbawa-bawa dengan permainan kotor mereka. Biarkan mereka terus bermain dengan isu-isu perkauman supaya akhirnya rakyat nampak siapa sebenarnya yang chauvinis. Buat kaum Melayu cuba kaji dan renungkan kembali apa sebenarnya lagi yang tinggal didalam Hak-hak Istimewa Orang Melayu ini ? Sebenarnya hak-hak ini secara tidak di sedari telah dirampas oleh peguasa-penguasa zalim ini. Keistimewaan ini telah digantikan dengan Hak-hak Istimewa Kroni-kroni, kerana sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa akan mendapat keistimewaan ini jika menjawat jawatan "Kroni" ini. Kita dapat melihat dengan jelas betapa istimewanya mereka ini seperti Halim Saad, Tajuddin Ramli dsb yang mewakili Kroni Melayu; Vincent Tan, Ting Pek Khing, Eric Chia dsb mewakili kaum Cina dan Ananda Krishnan mewakili kaum India. Inilah perpaduan impian BN sebenarnya.

Kepada Pemimpin BN teruskan sandiwara kalian kerana sesungguhnya rakyat jelata cukup terhibur dengan teater (di baca "sarkas") yang kalian persembahkan. Katakan apa sahaja dan rakyat akan sentiasa mendengarnya tetapi amat jauh sekali untuk mempercayainya. Jangan sampai terjadi seperti cerita dongeng "Penjaga Biri-biri dan Serigala" sehingga jika diumumkan Mahathir mati, rakyat tertawa dan tidak percaya kerana terlalu banyak pembohongan telah berlaku.

Hakim Negara

https://hakimnegara.tripod.com/freeanwar

hakimnegara@freeanwar.com