KENYATAAN AKHBAR
Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ling Liong Sik menghalang rakyat daripada hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpr untuk mendengar keputusan perbicaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 4 Ogos 2000 di Kuala Lumpur merupakan satu kenyataan yang berniat jahat dan mempunyai unsur fitnah untuk mula menimbulkan suasana tegang dan ketakutan rakyat menjelang hari pengadilan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim. Kenyataan beliau mengingatkan saya kepada kenyataan yang hampir sama yang pernah dinyatakan oleh Dr. Mahathir Mohamad beberapa hari menjelang perhimpunan aman 14 April yang lebih dikenali sebagai the Black 14 atau Gelita 14. Dalam peristiwa tersebut Dr Mahathir berjaya menimbulkan suasana tegang di kalangan rakyat dengan kenyataan beliau yang menggambarkan seolah-olah akan berlaku rusuhan dan keganasan pada tarikh tersebut. Suasana tegang yang dicipta oleh Dr Mahathir dengan bantuan media utama tempatan khususnya Utusan Malaysia telah dijadikan alasan untuk tangkapan dibuat terhadap beberapa pemimpin keADILan sebelumpun perhimpunan itu berlaku.
Sdr Ruslan Kassim ditahan di rumahnya semasa beliau dan keluarganya sedang tidur dengan aman jam 3.00 pagi manakala saya pula ditahan di perkarangan masjid Kg Penghulu Him, Sg Petani, Kedah sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut dengan penduduk kampung juga di dalam keadaan aman. Ramai lagi pemimpin lain ditangkap khususnya dari Pemuda keADILan selepas hari itu. Tahanan kami di lokap balai polis dilanjutkan tujuh hari selepas itu atas alasan yang dikemukakan oleh pegawai pendakwa polis di depan Majistret bahawa tahanan mesti dilanjutkan kerana polis mempunyai maklumat kami merancang melakukan rusuhan dengan persiapan ratusan bilah parang, pertemuan terancang dengan kumpulan samseng cina dan kumpulan silat melayu untuk bertempur dengan polis pada 14 dan 15 April.
Selepas tujuh hari diseksa akhirnya kesemuanya dibebaskan tanpa dakwaan manakala saya dan Sdr Tian Chua didakwa di dalam kes yang tidak ada kena mengena langsung dengan perhimpunan tersebut . Jelas tangkapan kami adalah satu perancangan jahat yang dimulakan oleh Dr. Mahathir sendiri yang membuat kenyataan kononnya mempunyai maklumat rusuhan sedang dirancang dan pelbagai lagi cerita karut untuk menakut-nakutkan rakyat. Saya sendiri telah membuat laporan polis meminta polis menyoal siasat Dr. Mahathir atas dakwaaan menghasut dan membuat kenyataan berniat jahat. Saya juga telah menbuat cabaran secara terbuka kepada Dr. Mahathir untuk membuktikan dakwaan beliau. Sehingga ke hari ini tiada tindakan yang diambil oleh pihak polis berhubung dengan laporan polis saya.
Kenyataan Ling Liong Sik hari ini merupakan ulangan sandiwara yang telahpun dilakonkan oleh Dr. Mahathir beberapa bulan lalu. Utusan Malaysia akan terus menjadi pentas dan perkakas kepada sandiwara ini. Beberapa anggota polis akan dipaksa menjadi pelakon-pelakon utamanya. Kisah rusuhan dan huru-hara adalah kisah ciptaan mereka.
Sebab itulah selepas sebegitu banyak perhimpunan rakyat diadakan sehingga ke hari ini tidak ada satu dakwaanpun yang telah dibuat terhadap pemimpin atau penyokong Reformasi yang boleh disabitkan dengan perbuatan rusuhan dan keganasan. Keganasan yang dipaparkan di TV dan akhbar milik pemerintah sehingga hari ini gagal membuktikan apa-apa selain daripada menjadi alat untuk pemerintah yang zalim terus berkuasa dengan menakut-nakutkan rakyat dengan gambaran keganasaan.
Rusuhan dan keganasan adalah ciptaan pemerintah. Hari ini Ling Liong Sik adalah pelakon utama kepada satu lagi suasana tegang, rusuhan dan keganasan yang akan dipentaskan oleh Utusan Malaysia dan TV3. Memang benar rakyat Malaysia merupakan rakyat yang cintakan keamanan. Atas keyakinan inilah Pemuda keADILan membuat keputusan mengalu-alukan kesediaan rakyat Malaysia untuk turut hadir mendengar keputusan perbicaraan yang paling jelek dalam sejarah negara. Pendirian Pemuda juga berasaskan kepada prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Negara yang menjamin hak rakyat berhimpun secara aman. Adalah menjadi hak rakyat untuk hadir pada hari tersebut. Pengadilan hari tersebut bukan sahaja untuk Anwar Ibrahim tetapi seluruh rakyat Malaysia. Malah dunia juga akan memberikan perhatian mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari tersebut. Seluruh sistem kehakiman negara ini akan diadili pada hari tersebut.
Saya menyeru seluruh rakyat yang cintakan keadilan untuk bersama-sama hadir pada hari yang bersejarah ini. Saya akan gerakkan kekuatan seluruh jentera pemuda Keadilan untuk menerangkan kepada rakyat sandiwara Ling Liong Sik. Pemuda keADILan melihat tarikh ini sebagai saat paling penting dalam sejarah perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman yang bermula 20 September 1998. Kami juga ingin memberi amaran kepada Ling Liong Sik untuk menutup mulut dengan segera dan menumpukan perhatian kepada saman rasuah ratusan juta ringgit yang melibatkan diri dan keluarganya. Hentikan lakonan ini atau berdepan dengan serangan Pemuda keADILan yang akan menelanjangkan segala pekung rasuah dan penyelewangan kamu !
Mohamad Ezam Mohd Nor
Ketua Pemuda
Parti KeADILan Nasional
27 Julai 2000
PRESS STATEMENT