Kenyataan Media Bersama BARISAN ALTERNATIF
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
Parti Keadilan Nasional (keADILan)
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
PERHIMPUNAN AMAN 4 OGOS
Sokongan daripada beberapa pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik mahu pun individu-individu untuk perhimpunan aman anjuran rakyat yang berprihatin yang dijadualkan pada 4 Ogos 2000 jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar masyarakat Malaysia memahami dan menghargai hak berhimpun sebagai hak asasi manusia. Mereka sedar bahawa ini adalah hak yang terjamin dalam Perlembagaan Malaysia. Hak berhimpun secara aman juga merupakan hak yang termaktub dalam Pengisytiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat. Malah hak berhimpun adalah salah satu daripada tiga hak sivil dan politik yang paling penting dalam Pengisytiharaan Hak Asasi Manusia.
Lagi pun rakyat berhasrat berhimpun untuk menegakkan prinsip keadilan. Mereka tuntut keadilan untuk Dato Seri Anwar Ibrahim sepertimana juga mereka mahu mempertahankan sistem kehakiman sebagai institusi yang benar-benar mencerminkan keadilan. Rakyat memperjuangkan masyarakat yang adil: sebuah sistem demokrasi yang tulen akan menyediakan saluran-saluran yang sah untuk membolehkan warga membuat tuntutan ini. Perhimpunan secara aman adalah antara saluran yang paling sah yang sering digunakan dalam demokrasi-demokrasi yang lain.
Oleh kerana perhimpunan aman diterima sebagai amalan biasa dalam sistem demokrasi, maka Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Tan Sri Musa Hitam baru-baru ini merayu kepada pihak berkuasa membenarkan rakyat menikmati hak ini. Dalam kenyataan media dua hari yang lepas, beliau telah mengambil satu lagi langkah kedepan. SUHAKAM bercadang menghantar empat Pesuruhjaya dan seorang pegawainya untuk memantau perhimpunan aman yang akan diadakan pada 4 Ogos. Barisan Alternatif (BA) mengalu-alukan cadangan ini.
Dalam konteks ini, BA amat kecewa dengan sikap beberapa pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) dan media yang dikawal mereka yang terus mengecam hasrat rakyat untuk mengadakan perhimpunan aman pada 4 Ogos. Mereka memberi gambaran kepada khalayak ramai seolah-olah rakyat yang prihatin ini merancang untuk merusuh dan mengganas. Ada media BN yang mengaitkan perhimpunan 4 Ogos dengan peristiwa 13 Mei. Ini adalah suatu pendustaan besar. Ini adalah satu lagi bukti tentang politik kotor BN.
Barisan Alternatif sekali lagi mengulangi pendiriannya. BA menolak sama sekali politik rusuhan dan keganasan. BA kuat berpegang pada prinsip-prinsip demokrasi berparlimen. Perubahan politik secara aman adalah nilai utama dalam perjuangan BA.
Apakah rusuhan dan keganasan akan menguntungkan pakatan pembangkang seperti BA? Apakah BA akan memilih jalan ini padahal sokongan terhadap BA sedang meningkat sepertimana terbukti dalam pi\ihanraya yang lalu dan dalam pilihanraya kecil Teluk Kemang? Dari segi sejarah --- dan Dr. Mahathir Mohamad mahu kita belajar dari sejarah --- hanya individu atau kumpulan yang merosot kuasanya atau yang bimbang hilang kuasanya yang lazimnya mencetuskan keganasan dan rusuhan.
Itulah sebabnya rakyat yang cintai keadilan dan demokrasi yang ingin berhimpun secara aman pada 4 Ogos harus berwaspada terhadap anasir-anasir tertentu yang tidak segan silu mengekalkan kuasa mereka dengan apa cara jua.
YB Dato’ Fadzil Mohd. Noor
Presiden
Parti Islam SeMalaysia (PAS)
YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Nasional (keADILan)
Dr. Syed Husin Ali
Presiden
Parti Rakyat Malaysia (PRM)
YB Kerk Kim Hock
Setiausaha Agung
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
2 Ogos 2000